“Persekitaran turut mempengaruhi seseorang itu menjadi malas,” ujarnya sambil menjelaskan terdapat dua kategori malas, iaitu malas pada perkara tertentu dan malas pada melakukan banyak perkara.
“Ada sesetengah orang itu kita lihat dia rajin di rumah tapi di pejabat dia malas dan begitu juga sebaliknya. Mengapa ini berlaku?
“Ia mungkin kerana minat terhadap aktiviti berkenaan kurang kerana kekurangan pendedahan atau pengetahuan,” katanya.
Justeru, untuk mengatasi masalah malas ialah dengan mendapatkan pengetahuan secukupnya terhadap apa yang perlu dibuat.
“Para bos misalnya perlu peka dengan kondisi pekerja. Mungkin mereka malas dan tidak produktif kerana mereka tidak tahu atau jelas tentang kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Memberikan motivasi juga merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan sifat malas. Sebab itulah pengkaji-pengkaji dari Australia pernah menyifatkan malas yang ekstrem sebagai motivational deficiency disorder.
“Motivasi boleh datang daripada dalam diri individu itu sendiri dan boleh diperoleh daripada dorongan motivasi orang lain. Motivasi bagi diri sendiri boleh diperoleh dengan menetapkan matlamat yang khusus,” ujarnya.
Selain daripada itu, bagi keadaan tertentu dan tujuan yang baik, Azrul berkata, untuk menambah minat seseorang melakukan perkara itu boleh juga menerusi paksaan.
“Adakalanya penyakit malas perlu diubati dengan paksaan. Bukankah dalam hidup kita ada perkara yang kita pada awalnya tidak berminat tetapi berubah minat apabila didorong atau dipaksa untuk melakukannya?
“Seperti juga yang diajarkan dalam agama tentang hal solat. Islam mendidik umatnya agar menyuruh anak sembahyang pada umur tujuh tahun.
“Jika umur 10 tahun, mereka tidak sembahyang, mereka perlu dipukul. Apabila mereka sudah biasa melakukannya, ia boleh mendatangkan minat dan mereka membesar menjadi seorang yang tidak malas untuk menunaikan solat,” katanya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm