Nuffnang Ad

Wednesday 22 September 2010

Wartawan penyedar masyarakat


Oleh Mohd Fadly Samsudin

2010/07/30
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MENGGALAS tugas sebagai wartawan sebenarnya cabaran besar dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi menyampaikan maklumat berguna kepada masyarakat.
Bak kata pepatah, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Contoh jelas apabila penulisan mampu menaikkan semangat dan jiwa kental untuk berjuang demi negara. Itulah yang dibuktikan apabila negara kita ini berjaya mendapatkan kemerdekaan hasil daripada propaganda dilancarkan melalui penulisan media.
Selain tugas menyampaikan maklumat, peranan media dilihat boleh mengubah persepsi serta meninggalkan pengaruh yang mendalam kepada masyarakat.

Rentetan itu, Dialog Bersama Media diadakan bertempat di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Ia atas inisiatif mahu melahirkan bakal wartawan yang kreatif, kritis, berani dan berdaya saing selain membincangkan peranan serta cabaran media Islam dan media konvensional.

Seramai 393 peserta yang terdiri daripada pelajar jurusan Komunikasi Kuis, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hadir dalam sesi dialog berkenaan.

Barisan panel yang dijemput adalah Pengarang Rencana Harian Metro, Roslan Ibrahim; Penolong Pengarang Majalah Al-Islam, Nor Shamsinor Bahasa; Presiden iLuvIslam.com, Mohd Nurul Imran Koyube serta dipengerusikan penerbit Radio Bernama, Hassan Sallehuddin Yahya.

Dialog itu sempena minggu komunikasi yang dianjurkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) serta Jabatan Pembangunan Mahasiswa Kuis.

Roslan berkata, bidang kewartawanan memerlukan seseorang itu bersiap sedia dengan ilmu di samping tahu membawa perwatakan sendiri apabila sudah berkecimpung secara serius.

"Wartawan perlu menjadi pelapor yang bijak mengolah serta menyampaikan maklumat yang diterimanya. Paling penting, mereka tahu menilai sesuatu perkara itu adalah terbaik untuk tatapan pembacanya.

"Selain itu, media juga tidak terlepas daripada mengamalkan 'perang saraf' kerana ia adalah konsep yang berlaku di mana-mana.

"Justeru, pengamal media perlu memikirkan setiap perkara yang mereka sampaikan adalah amanah dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Menurut Nor Shamsinor pula, semua pengamal media sama ada aliran Islam atau konvensional terikat dengan etika kewartawanan yang perlu dipatuhi setiap masa.

"Lakukan lebih banyak penyelidikan bagi menjamin mutu karya atau hasil yang kita lakukan. Media Islam khususnya adalah lebih fokus untuk menjalankan tanggungjawab memperluaskan jaringan dakwah.

"Jika ada fakta yang meragukan, ia perlu segera dielakkan supaya tidak mengelirukan masyarakat," katanya.
Mohd Nurul Imran pula berkata, fokus dan cabaran besar buat pengamal media untuk faham serta melihat minat sosiobudaya masyarakat secara keseluruhannya.

"Sekarang, masyarakat mempunyai lebih banyak sumber yang tidak hanya terhad kepada media cetak atau elektronik saja.

"Dalam hal ini, media baru sememangnya pantas, namun kebenarannya perlu diteliti kerana ia tiada tapisan atau halangan. "Media Islam perlu memanfaatkan perkembangan media baru seperti Internet untuk usaha dakwah yang lebih luas capaiannya," katanya.

1 comment:

  1. Ingatlah wahai wartawan bahawa setiap amal itu disaksikan Allah .

    ReplyDelete

Apa Pendapat Anda ?